Dasar Pakatan Rakyat - Muafakat Rakyat
Pakatan
Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar
bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.
Agenda
pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit,
politik adu domba dan “demokrasi otoritarian”. Ekonomi merudum akibat dari
keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang
menyebabkan Malaysia tercicir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.
Ketidakadilan
ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan
miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan
Sarawak.
Peningkatan
jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis
disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem
kehakiman terus digasir oleh campur tangan politik dan kepentingan perniagaan.
Setengah
abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan
manakala rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan
kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah,
merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.
Menginsafi
semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk
menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga
rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.
Malah
kami yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan
hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak
asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar
yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat
akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman,
sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela
dan dimartabatkan.
Pakatan
Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas
melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan
manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya
saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan
hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil terutama
bagi kelompok miskin dan terpinggir.
Pakatan
Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah
kewangan serta penyalahgunaan kuasa. Demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar
menindas yang hanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah
dasar yang memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira
kaum.
Berdasarkan
latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru
yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini
adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan
rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan
bersatu padu.
No comments:
Post a Comment